Sunday, 31 October 2010

Rahsia Melalui Tulisan Dr Fadzilah Kamsah

Pertama : Tekanan
i. Tekanan yang kuat
Seseorang yang menulis dengan kuat tekanannya sehingga berbekas di bahagian belakang kertas.
· Sihat, cergas, pantas dan sedikit agresif
ii. Tekanan yang ringan
Seseorang yang menulis dengan lembut dan ringan dan tidak berbekas.
· Kurang bertenaga, kurang sihat dan mudah sakit
Kedua : Bentuk Tulisan
i. Tulisan yang bulat-bulat
Semua huruf ditulis dengan bulat
· Emosional, prihatin, pengasih penyayang, kepekaan tinggi dan banyak memakai otak di sebelah kanan (otak kreatif)
ii. Tulisan yang tajam-tajam atau leper-leper
Tulisan yang angular dan sharp
· Rasional, berkerja dgn sistematik, pandai mengurus dan banyak memakai otak di sebelah kiri (otak logical)
Ketiga : Kecondongan
i. Condong ke kanan
· Extrovert, suka bercerita, berkongsi maklumat dgn orang lain, peramah, suka campur orang, mudah memimpin, mudah menunjukkan kasih
sayang, berani, pemurah
ii. Condong ke kiri
· Introvert, suka menyimpan rahsia, agak pemalu, tak suka berubah, amat setia kepada kekasih, keluarga, organisasi dan negara tetapi tak suka
campur orang
iii. Tegak
· Systematic, mudah kawal diri, suka berkawan tetapi tak cari kawan sebaliknya kawan cari dia, tak suka gaduh-gaduh, suka ambil jalan
tengah
iv. Campur-campur
· Emosi tak tetap macam remaja yang belum cukup umur atau macam orang perempuan datang bulan (maaf)
Keempat : Kerapatan
i. Jarang-jarang
· Tak suka campur orang, kurang mesra dan sedikit boros.
ii. Rapat-rapat
· Suka campur orang, amat bergantung kepada orang lain, jimat atau kedekut
Kelima : Pada huruf J, G, Y, Z

i. Ada ekor
a) Besar, panjang dan sempurna
· Tahap emosi yang dipamer itu jelas, pengasih & penyayang, pemurah, mudah kesian pada orang, mempamerkan tahap kerajinan
b) Kecil, pendek dan tak sempurna
· Tak pandai mempamerkan emosi, kurang rajin, tak pandai mempamerkan kasih sayang walaupun sayang itu banyak dalam diri
Keenam : Pada palang huruf kecil T (t)
i. Tinggi
· Tahap aspirasi tinggi
ii. Rendah
· Mudah berpuas hati, cita-cita rendah
iii. Tengah-tengah
· Usaha dan tahap pencapaian itu di tahap sederhana
Rumusan : -
Tulisan mencerminkan peribadi… Kita boleh menukar tulisan kita untuk mengubah peribadi dan Personaliti kita dengan sengaja supaya kita cemerlang dalam hidup…

Kenapa kita dendam ?

 Apa impak dendam kepada orang yang berdendam dan orang yang didendami ? Dan yang paling penting, bagaimana nak menangani perasaan dendam. Sumber dari wikipedia menyatakan, dendam (ataupun Vengeance dalam bahasa Inggeris) merupakan suatu perasaan yang lahir daripada perasaan benci atau marah, seringkali dipendam secara rahsia oleh seseorang individu. Dendam juga boleh lahir daripada hasrat dengki atau ketidakpuasan hati. Dalam agama islam, dendam itu adalah berdosa.
Ada orang berdendam sebab luka di lubuk hatinya terlampau parah. Tapi mengikut kajian psikologi, orang yang marah itu, perasaan marahnya itu cuma 4 ½ minit. Jadi jika perasaan marah itu persis atau masih wujud dalam hati diri kita atau lebih panjang dari 4 ½ minit, 1 jam, 2 hari, 2 bulan, 2 tahun itu sudah masuk ke dalam era ataupun arena dendam. Ertinya, marah, sakit hati yang lama lebih dari 4 ½ minit ialah dendam. Ini merupakan definisi psikologi.
Diantara punca-punca dendam ialah luka dalam hati yang mendalam ataupun kita teraniaya. Kita merisik awal, orang tolak pinangan. Orang merisik kemudian, orang menerima pinangan. Macam mana tak dendam ye tak ? Ni contoh je. Tiada kena mengena dengan aku pun. Hehe.Kadang-kadang kita dendam sebab enggan memaafkan. Sebab apa ? hati masih kotor, jiwa masih gelap. Ni la punca-punca dendam. Dendam juga mencerminkan jiwa yang masih tidak tenteram. Banyak kekurangan yang tidak dapat di atasi dengan berbagai-bagai cara kecuali dendam dengan apa yang orang lakukan kepada kita.
Sebenarnya kalau kita berdendam, banyak isu yang akan terbengkalai. Masalah tidak dapat diselesaikan, jalan jadi buntu, keberkatan terhakis tak berkat hidup beb. Hati kotor sebab dendam, hidup tak berkat. Hidayah pun lari dan macam-macam masalah timbul satu per satu.
OK.
Sekarang aku akan bincangkan bagaimana menangani dendam.Pertama ialah murnikan hati, sucikan jiwa, sucikan hati dengan solat taubat banyak-banyak, minta maaf dengan orang dan juga redha. Kita pun kadang-kadang banyak buat silap kat orang, redhalah orang buat silap dekat kita. Kedua ialah cari emas dan cari hikmah dalam setiap kejadian. Kita teraniaya ada hikmahnya sebab bila tuhan nak beri kebaikan tuhan mulakan dengan musibah. Jadi jangan kecil hati. Mula berfikir apabila kita ditimpa musibah sebab ada emas dan kebaikan setiap kali musibah diturunkan kepada kita. Jika masalah kita tu berat sangat, minta bantuan dari pakar. Jumpa ulama’, jumpa kaunselor dan sebagainya. Berkawan dengan orang-orang positif, jangan pula berkawan dengan batu api. Nanti lagi dia api-apikan kita suruh buat perkara yang tidak sepatutnya. Dan yang paling penting ialah, slow talk dengan orang yang kita berdendam. Mungkin dari sini, semua dendam akan terhapus.
Oleh itu, janganlah kita menyimpan dendam dalam diri. Banyak keburukannya. Tak pasal2 dapat dosa. Tak percaya tanya ustaz kat surau rumah masing-masing. Apa-apa pun,kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi.! 
                                                                                                   

Saturday, 30 October 2010

Wajib sambung tugas rasul

SETIAP kita kena berdakwah untuk mengajak manusia kepada Islam. Islam itu agama dakwah seperti Rasulullah pernah lakukan.
Kekuatan kita dan umat Islam zaman berzaman terletak di atas kesungguhan berdakwah untuk menyelamatkan orang daripada azab Allah.

Apabila kita tidak buat usaha dakwah dan sibuk dengan mencari harta dunia, maka agama lain akan datang termasuk Kristian dan agama sesat baru muncul serta menyesatkan manusia.

Kristian sebenarnya adalah agama yang sudah habis tempoh laku (expiry date). Bagaimanapun, kerana pendakwah Kristian tekun dan bersungguh-sungguh melaksanakan usaha mereka, agama itu seolah-olah lebih hebat dari Islam.

Apabila kita cuma amalkan Islam secara sendirian dan bukannya secara berjemaah seperti diamalkan Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya selagi itulah misi Kristianisasi akan menyerang kita.

Kita kena melihat dakwah sebagai tugas terhormat untuk kita semua menjadi mulia di sisi Allah. Dakwah, satu kalimah yang mungkin selalu kita dengar dalam kehidupan kita sehari-hari.

Mungkin ketika berbual dengan kawan di pejabat, atau dalam tazkirah di masjid dan surau. Apabila ditanya kepada masyarakat kebanyakan berkenaan pengertian dakwah, pelbagai versi pengertian dakwah akan diberi mengikut pemahaman masing-masing.

Ada yang mengertikan dakwah dengan kerja mengajak orang jadi baik saja ataupun ajak orang pergi masjid semata-mata.
Ada juga yang memberi pengertian bahawa dakwah ini adalah kerja untuk mengajak kepada yang makruf dan membanteras kemungkaran.

Ada juga yang faham dakwah adalah hak milik eksklusif ustaz yang mengajar di masjid saja, tak perlulah bukan ustaz atau bukan budak sekolah agama hendak menyibuk dalam urusan dakwah.

Ada juga yang berpendapat tidak payahlah aku ini nak penat-penat masuk kumpulan dakwah atau fikir pasal dakwah, cukuplah asal aku dan keluarga aku jadi baik, aku boleh pergi masjid lima kali sehari semalam, boleh ajar anak aku mengaji, Ramadan boleh puasa lepas tu bayar zakat dan kalau ada duit lebih sikit pergi buat haji serta umrah.

Percaya atau tidak, kebanyakan masyarakat Muslim hari ini mempunyai minda yang macam itu ataupun lebih kurang macam itu. Eh, salah ke?

Nanti dulu, kefahaman dakwah itu bukan boleh main agak-agak macam itu saja. Bukan isu remeh-temeh dan ranting, tapi dakwah ini satu tugas besar yang diwarisi daripada nabi sejak zaman-berzaman lagi.

Kalau risalah ini dibawa nabi, maknanya ia memang perkara yang sangat penting untuk kehidupan manusia. Cuba kita kaji betul-betul apa yang dibawa nabi dari dahulu sampai sekarang? Adakah sekadar hendak ajak kawan jadi baik saja?

Rasa-rasanya kalaulah risalah yang dibawa Rasulullah sekadar hendak ajak orang jadi baik saja maka tidak perlulah Rasulullah serta sahabat bersusah-payah berjuang hingga sampai kena bina negara.

Tidak berhenti setakat itu saja, risalah kemudian disampaikan ke segenap pelosok muka bumi oleh sahabat dan tabiin hingga ke China.

Dakwah adalah satu usaha secara tersusun untuk menyampaikan Islam dan menegakkan ketuanan Islam di muka bumi ini supaya semua manusia dapat menikmati keindahan Islam dan bebas dari perhambaan sesama manusia.

Tugas dakwah tidak terhad kepada keluarga kita semata-mata bahkan melangkau jauh sempadan geografi setiap negara.

Ia adalah tugas global apabila kita yang bertuah dilahirkan sebagai umat Islam dan setiap orang daripada kita bertanggungjawab untuk tugas dakwah terbabit.

Ia bukan tanggungjawab ustaz semata-mata, bahkan kita akan dipertanggungjawabkan atas urusan berkenaan.

Mengapa kita perlu berdakwah? Sebab Islam itu adalah agama yang sempurna dan kita wajib untuk berkongsi nikmat kesempurnaan itu dengan semua manusia.

Sebab itulah kita perlu bekerja bersungguh-sungguh. Apabila Islam tertegak di atas muka bumi dan memerintah bumi ini, aman dan makmurlah segala-galanya, ekosistem kembali seimbang dan dunia akan menjadi tempat paling baik untuk didiami.

Faham tak sekarang mengapa kita perlu berdakwah? Tapi persoalannya macam mana hendak memulakan dakwah? Macam mana, kita akan bincangkan dalam artikel yang akan datang

Marilah sama-sama membabitkan diri kita bersama mereka yang dipilih Allah untuk menjadi penyambung tugas nabi. 

Friday, 29 October 2010

Usah tangguh bertaubat

JANGAN bertangguh untuk bertaubat. Manusia dianugerahkan keistimewaan berbeza berbanding makhluk lain di alam ini.
Manusia dilengkapi kesempurnaan fizikal, kemampuan berfikir serta pelbagai nikmat dan kemudahan di dunia ini.

Itulah yang dapat menjadikan manusia sentiasa terbatas untuk melakukan perkara di luar batasan insani. Kebolehan berfikir membezakan manusia daripada haiwan dan makhluk lain. Dengan kesempurnaan itu, sepatutnya kita sentiasa mendorong diri untuk memberikan hasil terbaik yang dapat dimanfaatkan buat diri kita di dunia dan akhirat. Hidup ini mempunyai peraturan, ada undang-undang tertentu. Jika semua ikut peraturan pasti kita akan selamat. Kehidupan ini juga bukan milik kekal kita. Ia adalah pinjaman sementara dan apabila sampai masa nanti kita semua akan ‘berangkat’ ke perkampungan akhirat yang kekal abadi. Terdapat beberapa frasa penting bagi mendisiplinkan diri kita dalam hidup ini. Pertama, kita mesti buat apa yang mesti dibuat. Asas perkara yang mesti dibuat adalah bersumberkan agama yang diturunkan dari langit iaitu Islam. Cuba kita baca semula sejarah bagaimana orang Arab Jahiliah yang sebelum itu berpaksikan undang-undang rimba sehingga peraturan bertukar dan berubah begitu drastik apabila semuanya berpegang kepada syariat. Perkara wajib mesti buat, yang sunat patut buat, yang makruh patut tidak buat, yang harus terserah manakala yang haram pula jangan buat. Jika pakai ikut rasa saja pasti binasa, ikut hati mati, demikian pesan orang tua-tua. Dadah itu haram dan apabila haram mesti tidak buat. Perkara kedua untuk menjadi disiplin ialah buat sesuatu pada masa yang patut dibuat. Iaitu berbuat sesuatu pada masanya. Tidak bertangguh, tidak berlengah, tiada istilah nanti dulu, lain kali, biar dulu, orang lainlah. Jika hendak bertaubat kita tidak boleh bertangguh. Tawaran dan peluang jangan ditolak. Ada yang kata remaja hanya sekali dan perlu gunakan kesempatan itu dengan berseronok sepuas-puasnya. Kata orang tua-tua, ambilah kesempatan walaupun dalam kesempitan, cuma jangan kesemputan. Jika masuk waktu solat, jangan ditangguh-tangguh lagi. Ketika belajar di pusat pengajian jangan main-main kelak menyesal, kerana peluang kadang-kadang hanya datang sekali. Ada yang berasa hendak melakukan kebaikan, jangan tangguh lagi bimbang lain kali rasa hendak buat baik itu tidak datang lagi.

Orang cemerlang tidak akan berhenti manakala orang berhenti tidak akan cemerlang. Perkara ketiga ialah disiplin hanya dicapai melalui kualiti dalam melakukan sesuatu atau ia dibuat sehabis baik. Ketika bekerja dan bekerjaya mesti lakukan dengan betul-betul. Kena lakukan bersungguh-sungguh, barulah boleh mendapat cemerlang. Sudah pasti, hendak menggapai kecemerlangan tidak ada jalan pintas. Hendak kaya ada jalannya. Jika hendak kaya guna jalan pintas maka berlakulah rasuah, khianat, pecah amanah, sorok barang, dusta, tipu dan sebagainya.

Thursday, 28 October 2010

Solat dan lima jenis manusia

SUDAH lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita.
SUDAH lama kita bersolat, tetapi nampaknya keajaiban dan jaminan solat yang disebut Allah masih samar-samar dalam kehidupan kita.

Allah memberi jaminan dalam firman-Nya, bermaksud: “Sudah pasti berjaya orang mukmin iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun: 1,2)

Pada pertemuan kali ini, penulis mengajak remaja dan siapa saja bermuhasabah mengenai peringkat solat.

Bukannya konsep kejayaan dan cara hendak mencapai khusyuk, tetapi ada beberapa jenis dan golongan serta gaya bersolat di kalangan orang Islam yang semuanya akan mempengaruhi perangai dan cara hidup.

* Jenis Pertama
Hari ini, ramai umat Islam yang tidak bersolat, bahkan ramai juga yang tidak tahu hendak bersolat. Ada yang menafikan kewajipan solat, mereka jatuh kafir sebab itu kadangkala perangainya dengan si kafir tidak ada beza.

* Jenis Kedua
Orang yang melakukan solat secara zahir saja, malah bacaan pun masih tidak betul, taklid buta dan main ikut-ikut orang lain.

Jadi, golongan ini sekejap bersolat, sekejap tidak. Jika ada masa dan emosi baik, dia bersolat. Kalau sibuk dan ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, dia tidak bersolat.

Orang ini jatuh fasik. Tidak belajar solat mahupun secara rasmi atau tidak rasmi. Ilmu mengenai solat ialah apa yang dipelajari ketika kecil dan tadika saja. Golongan ini tertolak, bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah.

* Jenis Ketiga

Golongan yang melakukan solat cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, Fatihah, doa Iftitah dan tahiyatnya, tetapi tidak dihayati dalam solat itu.

Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia tanpa menghayati solat. Golongan ini dikategorikan sebagai solat ‘awamul Muslimin’ dan jika dididik serta ditambah mujahadah (kesungguhan), dia akan berjaya dalam solat.

* Jenis Keempat

Golongan ini baik sedikit daripada golongan sebelumnya, tetapi main tarik tali dalam solatnya.

Sesekali dia khusyuk, sesekali lalai pula. Apabila teringat sesuatu dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya.

Apabila teringat Allah secara tiba-tiba, insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hati serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimah dan bacaan dalam solat. Begitulah sehingga selesai solatnya.

Peringkat ini orang terbabit akan mula memasuki zon ‘memelihara solat’, tetapi masih belum seronok dengan solat.

* Jenis Kelima

Golongan yang melakukan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz dalam solatnya.

Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga pekerjaan serta apa pun yang dilakukan atau difikirkan di luar solat itu tidak mempengaruhi so latnya.

Walaupun dia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan seperti perniagaan, semua itu tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah dalam solat. Golongan ini disebut orang soleh.

Sebenarnya banyak lagi peringkat solat, tetapi keterbatasan ruangan sekadar lima tahap ini rasanya sudah boleh mu hasabah diri mengenai tahap solat yang kita lakukan.

Jika kita berada di peringkat satu, dua dan tiga, kita sebenarnya belum selamat dan mungkin solat tidak mampu mendapat jaminan Allah.

Ibadat solat boleh membangunkan jiwa dan iman, men jauhkan daripada yang buruk dan merungkai mazmumah (sifat keji), menanamkan mahmudah (sifat terpuji), me lahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung. Semoga solat kita akan berlangsung sebagai mi’raj.

Penyakit hati lebih bahaya

TUAN ada penyakit ke? Kalau ada tanda demam yang kuat cepat-cepatlah pergi berjumpa doktor. Mana tahu ada apa-apa, boleh bertindak awal kerana bimbang juga dengan kedatangan gelombang kedua H1N1 sekarang.
Hari ini ramai yang sanggup berbelanja besar demi kesihatan, sebab kesihatan sangat berharga. Bila ada saja yang sakit, pasti ramai yang bersimpati. Semakin moden dan canggih dunia, semakin cepat kita dapat penyakit dan semakin cepat juga kita mengesan penularan sesuatu penyakit.

Pun begitu, semakin canggih dan prihatin manusia terhadap kesihatannya, manusia masih lupa memberi perhatian terhadap penyakit hati yang jauh lebih bahaya daripada penyakit fizikal. Penyakit hatilah yang akan merosakkan keharmonian rumah tangga. Mengganggu suami isteri orang, maka berlakulah kecurangan dan lupa tanggungjawab.

Tidak memberi nafkah akhirnya berkecai rumah tangga. Anak jadi tidak keruan dan hilang kasih sayang. Bila hati sudah berpenyakit maka akan hilang rasa takut kepada Allah, merosot serta comot integriti, tidak lagi rasa diperhati, depan orang alim tetapi di belakang menjadi "maling". Itu sekadar contoh kesan akibat penyakit hati yang terlalu banyak keburukannya. Siri kali ini penulis mahu bincangkan antara tanda penyakit hati. Kalau sudah ada tanda maka kena berhati-hatilah. Antara tanda penyakit hati tidak boleh dikesan sesiapa pun adalah:
1) Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan.
Malas menjalankan ibadah, bahkan meremehkannya pula. Contohnya melakukan solat bukan dengan "sengaja' tetapi dengan tidak sengaja dan terpaksa.

Kalau buat pun tidak khusyuk dan ada kesungguhan. Mereka merasa berat untuk menjalankan ibadah sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah at-Taubah ayat 54). 2) Tidak tersentuh ayat al-Quran
Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, maka tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyu atau tunduk dari membaca al-Quran dan mendengarnya.

Sedangkan Allah memperingatkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut kepada ancaman-Ku." (Surah Qaaf ayat 45). 3) Tidak tersentuh dengan ayat kauniyah
Tidak tergerak dengan adanya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran seperti kematian, sakit, bencana. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai sesuatu yang tidak kaitan dengannya. Nabi bersabda yang bermaksud: "Cukuplah kematian itu sebagai nasihat dan peringatan". 4) Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat
Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata. Segala sesuatu diperhitung, dikira berasaskan dunia. Cinta, benci dan hubungan dengan sesama manusia hanya untuk urusan dunia saja seolah hidup hanya untuk dunia dan berakhir di dunia . 5) Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat
Ini salah satu sebab terbesar yang mempengaruhi kerasnya hati seseorang. Orang yang hidupnya di tengah gelombang kemaksiatan dan kemungkaran, bergaul dengan manusia yang banyak berkubang dalam dosa, banyak bergurau dan tertawa tanpa batasan, banyak mendengar muzik yang melalaikan serta menghabiskan harinya untuk tujuan maksiat. 6) Kemaksiatan berantai
Penyakit hati lahir dari kemaksiatan baru akibat kemaksiatan yang dilakukan sebelumnya sehingga menjadi lingkaran syaitan yang sangat sukar bagi seseorang itu melepaskan dirinya. 7) Meremehkan dosa kecil
Memang ada dosa kecil dan besar, tetapi perlu diingat semua dosa akan membawa ke neraka. Seperkara lagi, kita perlu faham dosa besar bermula dengan dosa kecil, banjir besar bermula dari titis hujan. 8) Tidak peduli sumber makanan
Orang yang hatinya berpenyakit dan keras ini biasanya kurang prihatin dengan sumber makanan, halal atau haram. Begitu juga dengan syubhat, yang dia kira sedap dan enak, selera kena tinggi. Makan di mana pun tidak kira kedai orang Islam atau bukan Islam yang penting kaw dan kaw. Begitu juga dengan punca pendapatan, sudah tidak peduli lagi sumber rezeki datang dari mana kerana yang pasti dapat banyak, hidup kaya raya. Rasuah, curi, seludup, ampu ke semua dibedal.

Itu antara beberapa tanda yang sempat dibicarakan dalam ruangan ini dan harapnya ia dapat menambah maklumat kita semua. Mengenai cara mengatasi dan merawatnya Insya-Allah pada masa akan datang. 

Wednesday, 27 October 2010

Mendambakan Keredhaan & KeberkatanNya...

~Andai ESOK nafasku terhenti..ingatilah detik terakhir diri ini, Andai ESOK nadiku mati, maafkanlah kesalahan diri ini..kerana diriku terlalu byk kelemahan dan kekurangan~

~Pesan Iman Ghazali.. “ Carilah hatimu di tiga tempat…Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati”~

~“Ya Allah perindahkanlah akhlak ku seperti mana indahnya akhlak Rasulullah s.a.w , tenangkanlah hati ku bagai tenangnya air di tasik, dan serikanlah wajahku bagai bercahayanya bulan purnama di hari berserinya wajah orang-orang beriman…. Amin”~

~Sabda Baginda saw : "Apabila seorang wanita berbakti kepada suaminya, mengerjakan solat lima waktu, dan memelihara kehormatannya, nescaya dia akan memasuki syurga Tuhannya" (Riwayat Ahmad)~

Tuesday, 26 October 2010

Kebahagiaan tercerna daripada ketenangan jiwa

ALANGKAH bahagianya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan. Sebaliknya, amat gelisah sekali buat seseorang yang jiwanya mengalami kebingungan serta kegoncangan.
Dalam kehidupan ini pasti kita bertemu dengan dua jenis manusia, iaitu manusia yang jiwanya tenang dan manusia yang jiwanya sering merasa gelisah.

Remaja tentu pernah mengalami saat diri terasa bingung dengan masalah menyebabkan jiwa menjadi gelisah dan tidak menentu.

Ketika itu, terasa tiada tempat untuk mengadu, hampir putus asa dalam keadaan terkapai-kapai bersendirian. Saat itu, kita amat memerlukan sesuatu yang dapat membersihkan jiwa dan fikiran.

Jika penyakit kencing manis akibat gula berlebihan, kolesterol tinggi kerana banyak lemak, stress kerana tekanan, maka jiwa yang tidak tenteram pun ada sebabnya.

Sebab utamanya adalah dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan. Berbanding dengan racun biasa yang memudaratkan anggota badan.
Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang ditimbulkan anggota badan. Tujuh anggota badan yang paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

Mata perlu digunakan bagi tujuan melihat perkara yang baik dan indah.
Bukannya perkara haram dan lucah. Telinga adalah untuk mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah. Perut pula mesti diisi dengan yang halal.


Yang buat kita tidak tenang juga adalah disebabkan oleh hati yang kotor. Bukan saja dengan dosa tetapi juga akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat adalah ketenangan yang dibawa, yang dimaksudkan dengan rumah adalah hati, yang dimaksudkan dengan anjing adalah sifat dan akhlak tercela.

Maknanya kalau kita ada akhlak dan sifat tercela, hati yang bertindak sebagai rumah sudah menjadi kotor dan ketenangan tidak akan menjenguk.

Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggalnya dan menetap syaitan sebab perangai buruk ditaja syaitan.

Sifat tercela yang membuat kita risau dan sasau ialah hasad dengki iaitu tidak senang lihat orang senang, takbur, ego serta sombong dan inilah stress pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya.

Begitu juga ujub dan riak. Mereka berasa dialah yang sempurna sedangkan orang lain rendah. Selain itu mereka mengharapkan pujian dan sanjungan. Apa lagi jika seseorang itu bersifat bakhil dan kedekut pasti tidak akan pernah tenang hatinya kerana sentiasa terikat dengan harta, cinta harta.

Apa lagi cintakan kemasyhuran yang langsung tiada perasaan rendah diri sudah pasti hati akan berasa gelisah. Sifat pemarah membuat orang menjadi pendendam, hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu. 

Monday, 25 October 2010

Ingat Allah hiburan golongan beriman

MANUSIA sukakan hiburan. Malah, ada ketikanya hiburan menjadi suatu keperluan bagi sesetengah orang seperti makanan dan minuman.
Alasannya, hiburan boleh mendatangkan ketenangan, mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi.

Benar, ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, perengus, tertekan dan resah.
Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada persekitaran sekeliling.

Tetapi apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata yang mungkin difahami anak remaja kini iaitu nyanyian, konsert, pesta, karaoke, kelab malam atau berpeleseran saja. Malah, melihat keindahan alam, melancong, ekspedisi dan berkelah juga hiburan.

Ada tiga kategori hiburan: i- Bagi seorang mukmin ialah iman, amal ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan.
Ini kerana hasil daripada itu adalah ketenangan dan ketenteraman. Jiwa yang sentiasa hidup dan segar. Emosi pula terkawal.
Perkara inilah yang dimaksudkan Allah dalam al-Quran iaitu firman-Nya bermaksud: "Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang."
ii- Hiburan kategori kedua iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat serta akidah.
Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara untuk mendekatkan diri pada Allah. Umpamanya, jika berkelah atau berekspedisi di samping dapat menghilangkan bosan dapat juga merasai kehebatan ciptaan Allah, meresap di jiwa lalu timbul rasa gerun kepada-Nya.

Tetapi hakikatnya, ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur. Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja.

Namun, hiburan kategori ini selagi tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif, ia ibarat ubat mengurangkan kesakitan yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika, tetapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.

iii- Hiburan kategori ketiga paling popular terutama muda-mudi. Konsert artis, nyanyian yang lalai, pesta, kelab malam dan berpasangan adalah menjadi hambatan hidup remaja kini.

Hiburan ini bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah. Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tetapi tidak mengenyangkan.

Keseronokan itu bukan bererti kebahagiaan atau ketenangan. Malah, beransur-ansur membawa akibat buruk dan negatif pada jangka masa panjang.

Hiburan kategori ini mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati menjadi keras, gelap, lalu terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar untuk menerima kebenaran.
Justeru, orang yang mendapat hiburan hakiki (sebenar) umpama mendapat hidangan dan makanan lazat lagi enak, tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat.
Selalunya hanya kanak-kanak yang amat gemar pada gula-gula, manakala golongan dewasa tidak kerana mereka lebih mengutamakan makanan mengenyangkan. 

Banding diri dengan orang lebih baik


CARI wang tidak salah. Duit sebenarnya menjadi alat demi mentaati Allah. Dengan wang itu dapatlah kita membayar zakat, menunaikan haji, berjihad serta membantu mereka yang tidak berkemampuan. Islam meletakkan harta tempat yang mulia sekiranya diurus dengan cara yang berhemah. Yang kita bimbang kesibukan mencarinya sehingga melalaikan kita. Ada yang rela bekerja siang dan malam mencari harta hingga mengabaikan hak keluarga di rumah, anak mendapatkan pendidikan, hak Tuhan untuk disembah, bahkan yang paling parah hak anggota tubuh untuk beristirahat hanya demi harta yang nilainya tidak seberapa.

Yang kita hendak bincang pada kali ini adalah bagaimana kesilapan kita dalam melihat nilai yang kita buru habis habisan.

Padahal nilai akhirat itu perlu kita perjuangkan. Ini tidak apabila sudah mendapat wang, kedekut ibarat tangkai jering.

Dengan nilai wang RM10 ribu misalnya kita boleh dapat dan beli apa saja. Tetapi pernahkah kita fahami nilai dua rakaat solat sunat tahajud, nilai zakat, sedekah, membaca al-Quran, zikir? Adakah ia seimbang? Justeru, itu yang perlu kita perbetulkan segera. Wang adalah sebagai alat untuk membeli akhirat dan syurga. Ini kerana dengan kefahaman inilah mereka mencarinya dengan betul serta menggunakannya pun dengan cara yang betul.

Dunia mereka dapat, akhirat pun mereka juara. Contohnya, sahabat nabi jika mereka tertinggal takbiratul di dalam solat berjemaah saja, mereka bersedih dan berkabung selama tiga hari seolah-olah mengalami kerugian yang amat sangat.

Lain pula halnya dengan kita, kadang-kadang kita sanggup melupakan amalan demi bentuk keduniaan. Bertambah hairan kita tidak rasa bersalah hanya demi membina dunia itu. Contohnya solat, apabila berkumandang azan menandakan sudah masuk waktu solat. Kaum lelaki sepatutnya berduyun-duyun segera menuju ke rumah Allah. Manakala wanita pula bersegera solat di awal waktu, tetapi apa yang terjadi adalah kita sibuk mengutamakan kerja dengan alasan mencari rezeki. Sedangkan Allah menghubungkan rezeki itu sendiri dengan solat. Firman Allah yang bermaksud: "Perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Surah Thaha: 132). Betapa jauhnya fahaman kita berbanding dengan sahabat nabi. Mereka rela mewakafkan kebun kerana ia menjadi penyebab lalai dalam solat. Jika akhirat sahabat bergoyang, mereka sanggup lepaskan dunia mereka untuk meneguhkan akhirat. Kita pula terbalik, kita sanggup lepaskan akhirat demi hendak memperteguhkan dunia kita. Amat menghairankan kita tidak rasa bersalah pun melewatkan solat demi dunia kita, apatah lagi rasa bersalah disebabkan malas serta tidak fokus mengerjakan solat. Bagi menyedapkan hati, kita bandingkan pula diri dengan orang yang tidak bersolat. Maka jawapannya 'saya lebih baik dari mereka yang tidak solat'. Oh, betapa jauhnya kita.

Jangan dibandingkan rohani kita dengan orang yang lebih rendah dari kita, tetapi bandingkan rohani kita dengan rohani sahabat nabi. Amatlah rugi jika kita hanya faham dunia dan kualiti ISO 9001 saja. Berusahalah ke arah mencapai kualiti rohani sebagaimana rohani sahabat nabi. Ketahuilah bahawa kehidupan dunia ini amat sementara, sedangkan akhirat itu kekal abadi. Umur dunia mungkin panjang lagi, tetapi apa yang pasti umur kita tidak akan sepanjang umur dunia ini

Sunday, 24 October 2010

islam is the way

Bismillahhirrahmanirahim..
Assalamu'alaikum warahmatullahiwabarokatuh

aku adalah aku..aku x kisah apa yg org nk ckp apa psal aku..yg pnting Allah mengetahui segala-galanya..

"Please dont judge me by my past, I am not in the past anymore, Accept who i am TODAY"
"my friends,to love someone is nothing,to be loved by someone issomething,to be loved by someone you love is exciting,but to be loved byAllah is everything............remember that,don't forget"

"Kiranya tiada cinta insani untukku..Cukuplah cinta الله penyuluh hidupku..Moga kelak ada CINTA untukku daripada insan yang mencintai الله sebagaimana cintaku terhadapNya..
Aku ingin belajar menyintai Allah dan setia kpdNya..jika aku prnah menyintai seorang perempuan dan prnah setia kpdanya..mengapa tidak aku cuba utk setia kpd Allah..Cinta kta pda Allah tidak akn kecewa..sedangkan cinta pada manusia???pasti akan kecewa jika tanpa cinta padaNya..cintailah Allah sebelum menyintai insani lain..
Hidup ini indah jika kita hidup berlandaskan cara hidup islam yang sebenar-benarnya..
Ingin menuntut ilmu yang bermanfaat dan mengamalkannya agar menjadi panduan dalam menjalani hidup ini..

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh sebagai pemimpinnya yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka akan memberikan jawapan-jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.” 

Ingin bina rasa cinta dan sayang itu dalam acuan yang menurut perintah Allah..ingin menjadi suami yang soleh buat isteriku..insyaAllah..
Ingin mendidik anak-anakku menyintai Allah dan mencari redhaNya..InsyaAllah
Aku menganggap apa jua yg brlaku dalam hidupku susah atau senang,baik atau buruk adalah ujian dariNya utk mengujiku..semoga aku tabah dan sabar dalam menghadapi ujian dariNya..insyaAllah..
Semoga Allah menjadikanku dikalangan orang yang bertaubat,suci bersih dan beramal soleh..amin
Apa yang prnah berlaku dlm hidupku sebelum ini akn aku jadikan sbg pengajaran yg paling berharga dalam hidupku..yang mengajar aku erti kehidupan yg sebenar..
Bila hati berjuang krn Allah ,dugaan itu tmpt bersinggah..keperitan ditelan sbgai juadah..kejayaan di anggap 1 mimpi indah,tetapi andai ditakdirkn untuk rebah,hati ini tetap redha krnNya..

✿ Prinsip ABC ✿
✩ A mbil yang baik✩ B uang yang buruk✩ C iptakan yang baru

Ya AllahPimpinlah diriku menjadi muslimat bertakwa,muslimat yang solehAndai aku tersasar dari landasan,kau kembalilahkan ku pada jalan-Mu.Biarpun ku menangis air mata darah sekalipunHidayah-Mu amat penting bagiku...(-_-)

In Only jaNEWary