Wednesday, 17 November 2010

Apa kata ruh?

Ya Hamba Allah.

Kau hanyalah seorang hamba di muka bumi. Kau diciptakan dengan tujuan, bukannya main-main, tapi dengan tugas-tugas tertentu. Sebelum kau wujud, kau telah berjanji bahawa Allah itu Tuhan kau, tapi mengapa bila kau mempunyai jasad dan hidup bebas di muka bumi, kau buat tak endah sahaja akan Tuhan kau? Adakah kau sudah lupa akan janji kau kepada Allah?

Sangat celakalah mereka yang memungkiri janji.

Mempunyai rasa perhambaan setiap masa dan ketika merupakan kunci kejayaan dalam kehidupan ini. Tidak kiralah dalam apa sahaja yang kau lakukan: makan, minum, membaca, bersukan, beribadah; perasaan perhambaan itu wajib ada. Rasailah kehadiran Allah di sisimu setiap masa. Kau tidak hidup dengan dibiarkan bebas; kau sedang dinilai dan dicatatkan setiap amalmu setiap masa. Maka berbahagialah kau jika kau sedar akan hal ini dan sentiasa menjaga masa dengan melakukan hal-hal yang diredhaiNya.

Janganlah kau langgar amanah yang Allah telah berikan kepadamu. Kau diberi tubuh badan yang sihat, akal dan nikmat kehidupan. Adakah kau sedang menggunakannya dengan baik? Jangan kau lupa, semua itu adalah milik Allah, bukan milik kau. Allah boleh menarik balik semua itu jika Dia mahu. Jadi, hendaklah kau menggunakan semua yang ada pada diri engkau dengan sebaik dan sehabis mungkin, supaya bila ditanya Allah di akhirat kelak, kau mempunyai jawapan-jawapan yang bagus.

Wahai hamba Allah.

Memang nafsu dan syaitan itu sentiasa mahu kau lari daripada kebenaran. Mereka mahu kau sesat dan menyesatkan. Mereka mahu kau banyakkan melakukan kemungkaran dan lalai kepada Allah. Sedarilah bahawa itu semua musuhmu, bukan kawanmu. Sedetik kau cenderung kepada mereka, maka kau akan semakin hampir ke jurang api neraka. Dan tiadalah seksaan yang lebih dahsyat daripada azab neraka. Nau’zubillah.


No comments:

Post a Comment

In Only jaNEWary