Sunday, 7 November 2010

Mengapa Mengantuk Semasa Belajar?

Ramai pelajar yang apabila mahu belajar terasa mengantuk. Ada pula yang tak sampai 10 minit berada depan buku mata terasa berat. Tidak tahu apa yang dibaca dan ini merugikan diri pelajar itu sendiri. Kali ini saya mahu membincangkan faktor-faktor menyebabkan mengantuk ketika belajar dan bagaimana cara untuk mengatasinya.
Tidak cukup tidur. Ini memanglah punca utama ramai pelajar mengantuk ketika guru mengajar disekolah. Ada sesetengah pelajar yang tidur lewat malam sehingga pukul 1.00 pagi. Sedangkan esok hari persekolahan dan terpaksa bangun awal. Ada yang tidur lewat kerana menelaah pelajaran. Ada pula pelajar yang tidur lewat kerana membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti mendengar radio dan ber-IRC (chit chat) di internet sehingga pagi.
Kalaulah ini masalah anda maka nyatalah yang anda belum menetapkan matlamat dalam hidup anda. Pelajar yang bermatlamat tidak buang masa dengan urusan yang sia-sia. Kalau anda tidur lewat kerana mengulangkaji pelajaran maka anda juga perlu ubah tabiat buruk ini. Ingat pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang 'study smart' bukan semata-mata 'study hard'.
Tidur yang berlebih-lebihan. Tidur yang terlalu lama dan kerap juga menjadikan anda mengantuk. Tidur yang mencukupi ialah sebanyak 6-8 jam sehari. Pastikan anda tidak tidur lebih dari tempoh waktu ini.
Makan terlalu banyak. Ini juga merupakan satu tabiat buruk. Apabila anda kuat makan maka perut anda terpaksa bekerja kuat memproses makanan tersebut. Proses ini memerlukan banyak oksigen dan mengerah banyak tenaga. Ini membuatkan anda akan mudah mengantuk waktu dalam kelas dan ketika mengulangkaji.
Badan terlalu letih. Ada ketikanya anda mengantuk disebabkan badan anda terlalu letih dengan aktiviti sepanjang hari. Kalau anda ada masalah mengantuk cuba senaraikan semua aktiviti luar anda. Ada ketikanya andabersukan atau beriadah secara keterlaluan. Bermain bola diwaktu petang secara berlebih-lebihan. Berbasikal keliling kampung berjam-jam. Semua aktiviti ini memerah keringat dan membuatkan anda keletihan.
Beriadah dan senaman memang baik untuk kesihatan tetapi tujuannya kena betul. Perbaiki matlamat anda beriadah. Anda beriadah untuk membolehkan anda segar pada waktu malamnya bagi menelaah pelajaran. 20 - 30 minit sehari adalah mencukupi.
Ada pula sesetengak pelajar keletihan disebabkan aktiviti ko-kurikulum yang berlebih-lebihan. Anda tidak perlu terlalu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum hinggakan tiada masa untuk mengulangkaji dan sehingga memenatkan badan. Terlibat secara ala kadar. Pilih aktiviti yang paling anda minati. Tidak ada gunanya kegiatan ko-kurikulum anda cemerlang sedangkan SPM anda kecundang. Tidak ada gunanya menjadi olahragawan/olahragawati sekolah tapi akhirnya bekerja hanya sebagai budak kilang.
Oleh itu pastikan kegiatan harian anda seimbang antara pencapaian akademik dan penglibatan ko-kurikulum. Pastikan anda tidak kesuntukan masa. Pastikan anda tetap segar dan tidak mengantuk dimalamnya.
Tiada minat belajar. Masalah ini sering dijadikan alasan oleh ramai pelajar. Sebelum saya pergi lebih jauh cuba fikirkan sejenak antara MINAT dengan BELAJAR manakah yang wujud terlebih dahulu? Minat tidak tercetus dengan sendirinya dalam diri anda. Ia sesuatu yang wujud disebabkan pengaruh-pengaruh tertentu seperti guru yang baik, penguasaan pelajaran yang sempurna, markah yang tinggi dan sebagainya.


Pernahkah anda dengar adanya pelajar yang dapat markah 90% dalam sejarah berkata yang dia tak minat sejarah? Tidakkk! Oleh itu minat timbulnya apabila anda lihat dalam diri anda ada potensi untuk pergi lebih jauh. Minat mula timbul apabila anda dapat rasakan yang anda mula menguasai sesuatu mata pelajaran.
Oleh itu yang perlu anda perbaiki ialah cara belajar anda dan kegigihan anda sendiri. Anda pelu mempunyai kemahiran belajar yang tinggi agar mudah menguasai setiap perkara baru yang dipelajari.
Berikut adalah beberapa saranan apabila anda membaca buku-buku pelajaran:
  • Lihat seimbas kesemua muka surat yang anda akan baca. Dapatkan rangka kasar tentang teks yang bakal anda baca. Dapatkan satu gambaran yang menyeluruh terlebih dahulu.
Perhatikan perkara-perkara yang berikut:
·         Tajuk-tajuk kecil - dapatkan perkaitan antara satu tajuk dengan tajuk yang lain.
·         Rajah-rajah.
·         Jadual.
·         Carta.
·         Peta.
  • Baca perenggan bahagian pendahuluannya.
  • Baca perenggan bahagian penutup atau kesimpulannya.
  • Yang terakhir barulah baca ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan secara terperinci.
Membaca hanya satu hala. Ramai pelajar yang membaca dan mengharapkan 'input' semata-mata. Mereka mengharapkan melalui pembacaan setiap maklumat disuap dari buku ke dalam minda. Proses membaca begini ialah proses sehala dan ia cukup menjemu dan membosankan. Anda perlu berinteraksi secara interaktif antara anda dan buku yang dibaca. Untuk menjadikan proses membaca lebih bersifat dua hala anda perlu lakukan perkara yang berikut:
  • Dapatkan 10 - 20 soalan berkaitan tajuk yang mahu anda baca sebelum anda membaca teksnya. Fahami kehendak soalan ini. Apabila anda membaca kelak anda pasti menemui jawapan kepada soalan dan ini pasti meningkatkan tumpuan dan minat anda.
  • Sentiasa tanya diri anda sebarang soalan yang bermula dengan Apa? Siapa? Bila? Dimana? Berapa? Kenapa? dan Bagaimana? Ini membuatkan anda sentiasa mencari maklumat bukan sekadar mengharapkan maklumat itu tersedia untuk anda.
  • Selepas satu perenggan atau satu muka surat.... berhenti sejenak. Tanyakan diri anda sekali lagi tentang apa yang telah anda ketahui sebentar tadi. Cuba lakar-lakarkan pada sehelai kertas rajah atau fakta-fakta penting yang anda ketahui. CUba ceritakan semula pada diri anda apa yang telah anda baca. Ceritakan dalam suara yang boleh didengar oleh telinga anda sendiri. Dengan cara ini anda menggunakan bahagian otak yang lain untuk memproses maklumat.
Buat nota ringkas. Jangan sekadar membaca sahaja. Cuba kenal pasti kata kunci (lihat artikel terdahulu) dan ringkaskan setiap fakta penting ke dalam bentuk nota ringkas. Dengan melibatkan lebih banyak deria dalam satu-satu proses membaca membuatkan anda rasa seronok. Dengan membuat nota ringkas anda sebenarnya menggunakan bahagian kinestatik diri anda. Kalau sekadar membaca sahaja tanpa sebarang penghasilan nota anda cuma gunakan bahagian visual dan auditori semata-mata. Penglibatan bahagian kinestatik penting kerana ia mengukuhkan lagi ingatan anda terhadap apa yang anda pelajari.


Saturday, 6 November 2010

Membina Sikap Positive

 Sikap terbina dari pelbagai faktor dan pengaruh. Diantaranya termasuklah faktor ibu bapa, budaya, ugama, bahan media cetak dan elektronik, idola, pemakanan, dan sebagainya (Lihat artikel Sikap Penentu Kejayaan). Atas dasar inilah maka kita dapat lihat terdapat cara fikir yang berbeza dalam sesuatu kaum atau bangsa. Apa yang kita lihat, dengar dan alami pastinya akan membentuk pegangan dan kepercayaan dalam diri kita. Kepercayaan dan pegangan hidup ini akan mempengaruhi tindakan dan tindakbalas kita.
Cuba perhatikan, apakah hanya secara kebetulan apabila orang menyebut perkataan JANJI MELAYU? Memang tidak semua orang melayu mungkir janji tetapi majoritinya begitulah. Apakah secara kebetulan juga apabila ada yang berkata AUTA KELING? Memang tidak semua india begitu tetapi majoritinya kita sendiri tahu. Perkara tersebut terjadi kerana adanya persamaan dari aspek pemakanan dan budaya dalam sesuatu bangsa. Tambahan pula kita membesar dengan meniru mereka yang terlebih dahulu dewasa dari kita. Bak kata pepatah kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sekiranya positif pegangan hidup kita maka postif jugalah nanti natijah dari tindakan kita. Seterusnya positiflah sikap kita.
Untuk membina sikap positif dalam diri, anda boleh amalkan 10 PETUA yang disenaraikan dibawah. Amalkannya setiap masa dan dimana sahaja sehingga ia menjadi tabiat baru anda. Setiap minggu dari sekarang saya akan bincangkan salah satu dari 10 Petua ini. Tetap bersama saya.

Petua 1: Jangkakan kejayaan.
Petua 2: Lakunkan watak orang cemerlang.
Petua 3: Ubah penampilan diri.
Petua 4: Berkawan dengan orang berjaya.
Petua 5: Dalami ilmu kecemerlangan.
Petua 6: Fokus kepada apa yang anda mahu.
Petua 7: Kejayaan silam membarai diri.
Petua 8: Saranan diri positif.
Petua 9: Soal diri dengan soalan yang positif.
Petua 10: Pelaziman minda.

Petua 1: Jangkakan Kejayaan.
Anda sebenarnya boleh memilih tindakan dan tindakbalas anda. Tindakan ialah apa yang anda lakukan atau usahakan, tindakbalas pula ialah respon anda terhadap apa yang berlaku atau terjadi atas diri anda. Sebahagian besar tindakan dan tindakbalas anda sebenarnya berlaku secara spontan mengikut kebiasaan atau tabiat. Cuba fikirkan kembali bagaimana anda butangkan baju anda setiap hari? Jalan mana anda ambil ke tempat kerja setiap pagi? Air apa yang anda minum untuk sarapan? Tanpa anda sedari arahan-arahan tersebut datang tanpa anda sedari dari minda bawah sedar.
Kejayaan dan kegagalan ditentukan oleh perkara yang anda lakukan setiap hari, bukannya apa yang dilakukan sekali-sekala. Oleh itu sangatlah penting agar tindakan dan tindakbalas spontan anda setiap hari menjana sikap positif dalam diri. Tindakan dan tindakbalas anda menggambarkan sikap anda. Sikap anda pula berdasarkan cara anda lihat kehidupan yang bakal anda lalui dalam fikiran anda. Kalau tindakan dan tindakbalas spontan anda adalah negatif, maka ia tidak menguntungkan anda. Anda perlu lakukan sesuatu untuk mengubahnya. Antara
cara yang boleh anda lakukan ialah sentiasa jangkakan kejayaan itu milik anda. Lihat yang perjalanan usia anda membawa anda kepada sesuatu yang besar dan bermakna kepada diri, keluarga dan masyarakat anda.
Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif. Malangnya dalam kehidupan ini kita lebih sering takutkan kegagalan. Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.
Tidak lama dahulu satu kajian telah dilakukan di sebuah sekolah di California. Guru-guru telah diberitahu, disebabkan kecemerlangan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran maka mereka hanya akan diberikan murid-murid yang mampu cemerlang dan berIQ tinggi sahaja pada tahun hadapan. Buka sahaja sessi sekolah yang baru, para pelajar yang akan menduduki kelas guru cemerlang tersebut terpaksa dipilih melalui satu ujian IQ yang khusus. Satu kumpulan pelajar yang telah berjaya dalam ujian IQ ini dan masukkan dalam kelas guru-guru tersebut. Mereka telah mengajar dengan bersungguh-sungguh dan murid juga memberikan perhatian yang bersungguh-sungguh. Walaupun banyak rintangan dan cabaran, namun guru-guru tidak pernah patah semangat kerana mereka yakin murid-murid ini mampu berjaya. Malah pengetua sekolah sendiri telah memberitahu guru-guru ini iaitu walaupun para pelajar ini berIQ tinggi, mereka tetap terpaksa bertungkus lumus disebabkan mempelajari sesuatu yang baru memerlukan usaha yang gigih. Apabila peperiksaan dijalankan, hasilnya cukup membanggakan, para pelajar telah menghasilkan pencapaian seperti yang dijangkakan.
Apa yang lebih dibanggakan lagi ialah sebenarnya guru-guru telah ditipu. Mereka sebenarnya tidak diberikan pelajar yang berIQ tinggi. Ujian IQ yang diadakan hanya sekadar gimik semata-mata. Para pelajar tersebut sebenarnya pelajar yang sederhana sahaja pencapaiannya. Apa yang telah berlaku? Kenapa pelajar ini tetap boleh cemerlang? Perubahan yang berlaku ialah JANGKAAN KEJAYAAN dalam diri pelajar dan guru-guru. Guru-guru menjangkakan bahawa mereka pasti mencapai sasaran yang ditetapkan. Ini disebabkan mereka sememangnya telah diakui sebagai guru cemerlang dan diberikan pelajar yang bagus-bagus pula. Pelajar pula, setelah mengetahui keputusan ujian IQ, merasakan yang mereka baru menyedari suatu kehebatan yang selama ini mereka sendiri tidak pernah tahu. Mereka percaya bahawa otak mereka bijak. Mereka bersungguh-sungguh untuk membuktikan sememangnya mereka bijak. Ditambah dengan kesungguhan guru-guru tadi, segala harapan bertukar menjadi kenyataan.
Oleh itu jangan berputus asa mengharapkan rahmat dari Allah. Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau yang orang lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Menjangkakan kejayaan itu milik anda membuatkan anda tidak putus asa. Kalau anda perlu ubah perancangan untuk mencapai hasrat, maka ubahlah. Pastikan juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin membantutkan kejayaan anda. Lihat diri anda yang pasti merealisasikan harapan yang digenggam.
Ingat! Jangkakan kehebatan dalam diri anda dan diri orang lain dan kehebatan itu akan terserlah bila tiba masanya nanti.

Petua 2: Lakunkan Watak Orang Cemerlang

Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani. Sebut sahaja tentang 'role model' ini, saya teringat akan sebuah kisah kejayaan yang telah saya baca tidak lama dahulu. Kisahnya bermula sewaktu perang dunia kedua. Terdapat seorang jeneral tentera Amerika yang begitu dikagumi oleh semua disebabkan kejayaan demi kejayaan yang dibawanya dalam peperangan. Ketokohan dan keberanian jeneral ini begitu dikagumi juga oleh seorang pemuda berpangkat prebet. Suatu hari, prebet ini berpeluang bersemuka dengan jeneral lalu dia terus bertanya, "Tuan, pada pandangan tuan adakah saya mampu, satu hari nanti. berjaya seperti tuan". Lalu, jeneral itu berkata, "Jangan tanya saya soalan bodoh ini". Prebet tidak berpuas hati lalu terus bertanya sebanyak tiga kali, dan tiga kali juga dia memperolehi jawaban yang serupa. Lalu prebet bertanya kali ini, "Tuan, tiga kali saya tanya tuan tetapi tuan tetap berikan jawapan yang serupa, kenapa begitu tuan?". Lalu jeneral berkata, "Kalau kamu mahu jadi seperti saya, kamu mesti berfikir seperti saya, berjalan dan bercakap seperti saya, dan tindakan kamu pastinya juga nanti seperti saya. Kamu hanya boleh jadi seperti saya sekiranya kamu lalui jalan yang telah saya lalui. Kalau kamu lalui jalan yang berbeza, kamu akan sampai ke destinasi yang berbeza juga". Maka, pemuda itu mula faham. Mulai saat itu dia mula melakunkan setiap watak jeneral dalam kehidupan hariannya. Iaitu termasuklah cara fikir, cara bercakap dan cara berjalannya. 20 tahun kemudiannya, prebet itu berjaya merealisasikan matlamatnya menjadi seorang jeneral di pasukan tentera Amerika.
Cuba anda lihat senario berikut pula, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukum lumayan iaitu RM10,000 dan nama anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi sebelum masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh yang akan memohon untuk berlakun.
Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun ketebalannya ratusan muka surat. Anda akan mula menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda.
Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, anda bertindak seperti pelajar cemerlang di sekolah anda. Mengurus masa, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat. Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.
Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Fikir seperti mana mereka berfikir, bercakap, bergaya dan bertindak seperti mereka. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sekarang. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.
'Act As If....'


Petua 3: Ubah Penampilan Diri

Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya,
kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif. Ambil contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual. Sampainya sahaja anda di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan yakin.
Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan positif.
Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri:

1.      Potongan rambut - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
2.      Pilihan warna dan corak - Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta 'matching'.
3.      Jenis pakaian - Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
4.      Kemas dan rapi - Sentiasa digosok rapi.
5.      Kasut - Kasut yang sesuai denga tujuan kehadiran kita di satu-satu tempat.
6.      Aksesori - Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman dan lain-lain.
7.      Jenama - Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
8.      Kesihatan diri - Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya.
9.      Gaya - Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
10.  Senyum - Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir.



Thursday, 4 November 2010

Membaca Secara Berkesan

Membaca adalah satu proses yang
sangat penting untuk mendapat ilmu dan maklumat. Kebanyakan pelajar mempunyai tabiat belajar yang buruk. Akibatnya mereka menghadapi masalah seperti cepat bosan, jemu, kurang minat, mengantuk dan sebagainya. Lama-kelamaan jika diteruskan juga akan membuatkan pelajar rasa malas untuk membaca. Kesedaran tentang betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan perlu ditanam dalam diri pelajar. Dengan ilmu manusia disanjung, dikagumi dan dihormati. Kejayaan dan kecemerlangan hidup tidak mungkin tercapai tanpa ilmu.
Persediaan Sebelum Membaca. Langkah-langkah yang berikut perlu diambil untuk memastikan pelajar mampu membaca secara berkesan.

1.      Pilih masa belajar yang sesuai. Waktu belajar yang paling sesuai ialah ketika kurangnya gangguan terhadap tumpuan. Badan tidak letih dan perut tidak terlalu kenyang. Wastu subuh adalah merupakan waktu yang paling ideal untuk belajar.
2.      Pilih suasana yang sesuai. Iaitu suasana yang terang, kemas, bersih, nyaman, tenang dan tersusun.
3.      Pastikan kedudukan badan yang betul dengan buku dijarakkan lebih kurang satu kaki dari mata.
4.      Mulakan dengan bacaan Bismillah dan doa agar diterangkan hati.

Pelbagai Cara Membaca. Terdapat tiga cara membaca bergantung kepada tujuan satu-satu sessi pembacaan itu dilakukan.
  • Membaca untuk hiburan. Membaca untuk tujuan berhibur tidak memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Bahan-bahan yang biasa dibaca ialah majalah, komik, novel, cerpen, akhbar dan sebagainya.
  • Membaca untuk mencari maklumat tertentu. Ada ketikanya anda membaca semata-mata untuk mencari maklumat yang tertentu sahaja. Anda boleh membaca seimbas dan pantas bagi mencari lokasi maklumat yang dicari. Anda perlu merujuk kepada isi kandungan dan indeks bagi mendapatkan maklumat dengan lebih cepat. Anda boleh terus membelek muka surat yang berkaitan dan memlambatkan bacaan anda bagi menyaring maklumat yang ada.
  • Membaca secara kritikal. Membaca cara ini perlu apabila anda membaca untuk memahami konsep, istilah, logik dan sebagainya. Membaca secara kritikal adalah kaedah yang betul ketika menelaah mata pelajaran anda. Dengan menggunakan pendekatan ini, belajar nyata lebih seronok dan tidak membosankan. Minat juga mula terbit apabila anda mula memahami isi kandungan yang dibaca.

Langkah-langkah Membaca Secara Kritikal.

  • Melihat seimbas. Berikan perhatian kepada perkara-perkara yang berikut.
Lihat tajuk-tajuk kecil dan dapatkan perkaitan (jika ada) diantara tajuk-tajuk tersebut.
Amati seimbas rajah, peta, jadual, carta, radas,gambar dan sebagainya.
Lihat soalan-soalan yang ada termasuk soalan-soalan dibahagian belakang sesuatu bab / tajuk utama.
Catatkan sebarang persoalan (jika ada) yang timbul dalam fikiran pada sehelai kertas.
  • Baca pendahuluan dan kemudian baca bahagian kesimpulan / penutup.
  • Baca secara terperinci, ayat demi ayat, perenggan demi perenggan. Terjemahkan setiap penjelasan dalam bentuk gambaran minda.
  • Jangan pindah perenggan selagi anda tidak memahami apa yang sedang dibaca. Perlahankan rentak bacaan anda apabila tiba dibahagian yang sukar. Ulang baca beberapa kali sekiranya perlu.
  • Gariskan fakta-fakta penting. Buatkan ringkasan kedalam nota peperiksaan anda.
  • 'Highlight' setiap kata kunci.
  • Gunakan kod warna misalnya warna kuning untuk nama orang, warna biru untuk tarikh dan sebagainya.
  • Yakinkan diri anda yang anda mampu menguasai bahan yang dibaca.
  • Setelah habis satu perenggan, tutup buku dan nota anda. Fikirkan atau gambarkan semula apa yang telah anda baca. Setelah habis satu tajuk kecil, ambilkan sehelai kertas dan lakarkan kembali apa yang telah anda baca dalam bentuk peta minda atau peta konsep.