Wednesday, 22 December 2010

ISLAM KITA

Dengarlah saudaraku, satu sifat yang memberi pengertian yang menyeluruh yang dapat kita sifatkan kepada da'wah kita ini ialah: "Islamiyyah". Kalimah ini mempunyai pengertian yang luas, bukan pengertian yang sempit seperti mana yang difahami oleh kebanyakan orang. Kita berkeyakinan bahawa Islam adalah suatu pengertian yang menyeluruh, menyusun seluruh aspek, memberi fatwa dalam semua permasalahan, menentukan kepada permasalahan itu suatu sistem yang konkrit dan ter-
perinci. Islam tidak berlepas tangan berdepan dengan permasalahan hidup dan sistem-sistem yang diperlukan untuk membawa Islam kepada manusia. Setengah orang tersalah, memahami bahawa Islam itu hanya terbatas dalam soal-soal ibadat dan bentuk-bentuk ruhaniah sahaja. Mereka membataskan diri dan fahaman mereka di sekitar yang sempit ini sejajar dengan fahaman yang sempit terhadap Islam.

Tetapi kita tidak memahami Islam seperti fahaman itu, malah kita memahami Islam dengan fahaman yang luas, ruang lingkupnya merangkumi seluruh urusan dunia dan akhirat. Dakwaan ini bukanlah semata-mata dakwaan kosong atau sengaja kita meluaskannya supaya sesuai dengan pendapat kita, tetapi inilah yang kita fahami dari kitab Allah dan seiarah orang-orang Islam yang terdahulu. Andainya pembaca ingin memahami da'wah Ikhwan Muslimin dengan lebih luas tentang kalimah "Islamiyyah" beliau hendaklah memegang Al Qur'an, di samping itu beliau hendaklah membebaskan dirinya dari hawa nafsu dan kepentingan, setelah itu beliau memahami apa yang ada dalam
Al Qur'an, di sana beliau akan melihat da'wah Ikhwan Muslimin.

Benar, da'wah kita adalah bersifat Islamiyyah dengan seluruh pengertian yang terkandung daiam kalimah 'Islamiyyah' itu, setelah itu saudara fahamilah apa yang saudara mahu fahami dan dalam saudara memahami itu saudara terikat dengan kitab Allah dan sunnah RasulNya juga sejarah jejak langkah para Salihin muslimin yang terdahulu. Kitab Allah asas dan sumber Islam, manakala sunnah RasulNya berperanan sebagai  menerang dan mentafsirkan Al Qur'an, manakala sejarah dan jejak langkah para salihin pula; mereka adalah gulungan yang telah diredhai Allah, telah melaksanakan perintah Allah dan menerima ajarannya dan mereka adalah merupakan contoh yang praktik dan gambaran yang menjelmakan perintah dan ajaran itu. 

Thursday, 16 December 2010

DA'WAH KITA

Terus terang
 Kita ingin menerangkan kepada manusia tentang matlamat kita, kita ingin mendedahkan manhaj (method) kita di hadapan mereka, kita ingin mengemukakan da'wah kita kepada mereka dalam suatu bentuk yang tidak menimbulkan keraguan dan kesamaran, lebih cerah dari pancaran matahari, lebih bercahaya dari sinar pagi, malah lebih cerah dari siang yang terang benderang.

Suci
Di samping itu kita ingin supaya kaum kita dan ummat muslimin seluruhnya mengetahui bahawa da'wah Ikhwan Muslimin adalah da'wah yang suci dan bersih, dengan kesuciannya da'wah ini telah meningkat tinggi melewati batas kepentingan diri sendiri, memandangkan hina manfaat kebendaan,
meninggalkan jauh di belakangnya segala bentuk hawa-nafsu dan tujuan-tujuan kepentingan, mara ke hadapan menuruti jalan yang telah digariskan Allah kepada penda'wah-penda'wah. Firman Allah:


"Katakanlah; inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah dengan penuh kesedaran aku dan pengikutku. Maha suci Allah dan bukanlah aku dari golongan mereka yang musyrik':

Kita tidak meminta sesuatu dari manusia, Kita tidak meminta harta dari mereka, kita tidak meminta  upah dari mereka, kita tidak mengharapkan sanjungan mereka, kita tidak mengharapkan balasan dan terima kasih mereka, balasan kita dalam berda'wah ini hanyalah pada Allah yang menjadikan kita.

Kasih-sayang:
Demikian juga Kita mengharapkan agar bangsa kita mengetahui bahawa kita mengasihi mereka lebih dari diri kita sendiri, Kita mengharapkan mereka mengetahui bahawa jiwa-jiwa ini sanggup menjadi tebusan demi kepentingan mereka andainya ketinggian itu meminta tebusan. Jiwa-jiwa ini sanggup
dicabut sebagai harga kepada keagungan mereka, kemuliaan mereka, agama dan cita-cita mereka andainya perkara-perkara ini memerlukan demikian. Kita mengambil sikap yang demikian terhadap mereka hanyalah kerana kasih sayang telah membelenggu hati dan merajai perasaan kita, membuatkan kita tidak nyenyak tidur dan mengalirkan air mata. Amat sukar dan luar dari kesanggupan kita melihat sesuatu menimpa bangsa kita dan kita terus menyerah diri kepada kehinaan atau merelainya, atau kita terus berputus asa. Kami (Ikhwan) bekerja untuk manusia kerana Allah lebih dari kami bekerja untuk diri kami, kami untuk kamu, bukan untuk orang lain dan kami tidak akan menjadi beban kepada kamu. Keistimewaan dan nikmat hanya dari Allah:

 Kita tidak mendakwa memberi suatu nikmat, dan kita tidak menganggap bahawa kita mempunyai keistimewaan dalam hal ini, tetapi Kita percaya kepada firman Allah:
"Maka Allah lah yang mengurniakan nikmat kepadamu dengan memimpin kamu kepada keimanan seandainya kemu orang yang benar':

Kita berharap, sekiranya harapan itu memberi manfaat, agar hati-hati ini dapat diterima oleh pandangan dan pendengaran ummat kita, dengan itu mereka akan melihat; adakah pada hati- hati ini selain dari inginkan kebaikan dan rasa kasih terhadap mereka, juga pengorbanan demi mereka.
Adakah mereka dapati pada hati-hati ini selain dari rasa derita yang melarat akibat dari keadaan yang kita alami sekarang.
Pun demikian cukuplah bagi kita bahawa Allah mengetahui segala apa yang di dalam hati Kita. Hanya Allah tempat perlindungan yang tunggal, tempat minta pertolongan, Allah yang memberi taufik kepada jalan yang tepat, di tanganNya teraju dan kunci yang dapat membuka pintu hati. Siapa yang diberi pertunjuk oleh Allah maka tidak ada yang akan menyesatkannya dan siapa yang sesatkan Allah maka tidak ada sesiapa yang dapat memberi pertunjuk kepadanya dan Allah tempat tumpuan harapan kita, paling nikmat tempat kita berserah. Tidakkah Allah melindungi hambanya.


Empat jenis:
Kita mengharapkan manusia menjadi salah satu dari empat golongan ini:--

Mu'min:
Sama ada beliau menjadi seorang yang beriman dengan da'wah kita, membenarkan perkataan kita, kagum dengan prinsip-prinsip kita, beliau melihat dalam da'wah ini sesuatu yang dapat memuaskan hati dan diterima oleh nuraninya. Kepada beliau Kita menyeru supaya mengambil inisiatif untuk
menggabungkan diri dan bekerja bersama-sama kita, supaya dengan penggabungannya itu bilangan mujahid akan bertambah, semoga dengan suaranya itu seruan da'wah akan bertambah kuat. Tidak ada erti bagi keimanan yang tidak diikuti dengan amal, tidak ada faedah bagi 'aqidah yang tidak rnendorong tuannya untuk melaksanakan aqidah itu dan berkorban untuknya.

Demikianlah keadaannya orang-orang yang terdahulu, orang-orang yang dibukakan Allah dadanya untuk menerima hidayah Allah, lantas mereka mengikut jejak para Anbia', mereka beriman dengan risalahNya, berjihad demi risalah itu dengan jihad yang sungguh-sungguh. Mereka inilah yang dianugerahkan Allah dengan ganjaran nikmat yang maha besar, mereka akan menerima ganjaran pahala yang sama dengan pengikut-pengikut mereka dengan sedikitpun tidak mengurangkan pahala pengikut mereka.

Wednesday, 15 December 2010

Wahai Pemuda


Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keyakinan, kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.
Itulah sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.
Allah berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)
Dengan kesimpulan inilah maka kamu, angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambahberat.
Oleh itu sepatutnya kamu berfikir panjang, bekerja keras, bahkan mestilah kamu menentukan sikap untuk tampil ke hadapan demi menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak umat dengan sempurna.
Ada pemuda yang lahir serta membesar  di tengah-tengah umat yang keadaannya tenang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.
Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.
Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.
Kita, Angkatan Pemuda Islam ini, bertuah sebab kita termasuk ke dalam golongan yang kedua hingga terbukalah mata kita melihat umat yang terus menerus berjuang serta bertungkus lumus demi kebenaran dan kebebasan. Oleh itu, bersedialah wahai angkatan kesatria, alangkah hampirnya kemenangan itu untuk orang-orang yang beriman, dan alangkah besarnya kejayaan yang akan dicapai oleh angkatan yang terus menerus bekerja dan bertindak.
Wahai angkatan pemuda!  
Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.
Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.
Memandang semua inilah saya berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.